Sejarah tempatan penting membentuk jati diri

ALOR SETAR, 23 September: Sejarah tempatan memainkan peranan penting dalam membentuk pelajar-pelajar agar mereka mampu menjadi warganegara yang mempunyai jati diri yang tinggi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dr. Hamdan Mohamed Khalib, ia secara tidak langsung berupaya meningkatkan kemahiran melalui kajian dan menulis esei.

“Pelajar-pelajar juga diharap dapat belajar menulis esei dengan lebih kreatif lagi terutama yang berkaitan dengan tokoh dan asal-usul kampung di Negeri Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Menulis Esei Sejarah Tempatan Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Kota Setar di Pekarangan Muzium Negeri Kedah, di sini.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Biro Kebajikan dan Penerangan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) dengan kerjasama PSMCK, Lembaga Muzium Negeri Kedah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Setar.

Dr. Hamdan berkata, objektif pertandingan itu diadakan adalah untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam sejarah di samping meningkatkan mutu pencapaian akademik individu dan sekolah serta meningkatkan kefahaman pelajar terhadap sejarah tempat tinggal masing-masing.

Tambahnya, ia juga berupaya menanam minat di kalangan pelajar terhadap sejarah tanah air terutama sejarah yang terdapat di Negeri Kedah.

Pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Sekolah Menengah Rendah (Tingkatan Satu, Dua dan Tiga) dan Sekolah Menengah Atas (Tingkatan Empat dan Lima).

Tempat pertama bagi kategori Sekolah Menengah Rendah dimenangi oleh Shafinaz Samsudin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Janggus manakala tempat kedua dimenangi oleh Nur Farhana Ahmad Puad (SMK Langgar) dan ketiga, Anniza Izani Nor Azam (SMK Convent, Alor Setar).

Tempat pertama bagi kategori Sekolah Menengah Atas dimenangi oleh Mutalib Osman dari SMK Langgar manakala tempat kedua dimenangi oleh Awatif Izzati Nor Azam (SMK Convent, Alor Setar) dan ketiga, Siti Aishah Aziz (SMK Kubang Rotan, Kuala Kedah).

Pemenang hadiah saguhati bagi kategori Sekolah Menengah Rendah dimenangi oleh Nurul Shahirah Suhaimi (SMK Mergong, Alor Setar) dan Nazirul Ikram Sirozi (SMK Agama Kedah) manakala pemenang hadiah saguhati bagi kategori Sekolah Menengah Atas dimenangi oleh Wong Chin Fong (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Keat Hwa, Alor Setar) dan Shafinaz Samsudin (SMK Alor Janggus).

Pemenang tempat pertama bagi kategori Sekolah Menengah Rendah dan Atas menerima hadiah berupa wang tunai RM100, buku dan sijil penghargaan manakala kedua (RM80, buku dan sijil penghargaan) dan ketiga (RM70, buku dan sijil penghargaan).

Manakala pemenang saguhati menerima hadiah berupa wang tunai dan sijil penghargaan.
Turut hadir ialah Pengerusi Biro Kebajikan dan Penerangan PSMCK, Dato’ Dr. Wan Shamsudin Mohd. Yusof; Timbalan PPD Kota Setar, Osman Nor dan Pengetua SMK Pokok Sena 2, Ramlee Mohd. Shariff.

 

 


 

Terakhir Dikemaskini (Khamis, 23 September 2010 14:24)