MBAS lancar Tabung Wira Lahad Datu
ALOR SETAR - Pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang telah mengorbankan pasukan keselamatan negara merupakan satu sejarah berdarah yang amat mendukacitakan kita sebagai rakyat Malaysia.
Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Mohd Asri Redha Abdul Rahman berkata, kesan daripada peristiwa itu, seramai lapan anggota keselamatan telah terkorban.
“Kematian mereka telah meninggalkan kesan yang besar kepada keluarga masing-masing dan kepada seluruh rakyat Malaysia amnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Tabung Wira Lahad Datu, Sabah di Pejabat Dato’ Bandaraya Alor Setar, di sini.
Menurutnya, MBAS sebagai sebuah agensi yang rapat dengan masyarakat amat tersentuh dengan peristiwa berdarah yang menimpa negara ini.
“Sebagai rakyat, kita mahu hidup dalam keadaan aman dan selamat selamanya di tanah air kita sendiri,” katanya.
Sebagai tanda simpati dan mengenang jasa perajurit dan perwira negara yang telah terkorban, jelasnya, MBAS pada kali ini melancarkan Tabung Wira Lahad Datu untuk disumbangkan kepada keluarga perwira-perwira tersebut.
“Tabung Wira Lahad Datu ini disediakan untuk memudahkan semua tenaga kerja MBAS, pelanggan-pelanggan MBAS dan orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan mereka,” katanya.
Beliau yang mewakili Dato’ Bandaraya Alor Setar, Dato’ Mat Noh Ahmad memberitahu, sumbangan yang diterima oleh MBAS melalui Tabung Wira Lahad Datu yang dilancarkan pada kali ini akan disalurkan melalui MAYBANK kepada Tabung Wira Lahad Datu yang dilancarkan oleh Media Prima TV3.
“Saya menyeru kepada semua tenaga kerja MBAS, pelanggan-pelanggan MBAS dan orang-perseorangan, marilah kita bersama-sama menderma kepada Tabung Wira Lahad Datu demi untuk anak-anak perwira-perwira negara yang telah terkorban,” ujarnya.


