Penduduk Flat Paya Nahu gembira mereka dibantu

SUNGAI PETANI –  Penduduk Flat Paya Nahu, di sini merasa gembira kerana banyak pihak membantu dalam melaksanakan aktiviti pembersihan di kawasan perumahan berkenaan yang sebelum ini dibiarkan tanpa penyelenggaraan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, YB. S. Manikumar, beliau merasa gembira dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk dan pelbagai pihak termasuk E-Idaman, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana mampu meningkatkan kebersihan di kawasan ini.

“Sebelum ini, kawasan ini seperti terbiar tanpa penyelenggaraan yang sewajarnya, namun dengan adanya kerjasama pelbagai pihak, kita dapat membersihkan kawasan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis gotong-royong bersama penduduk Flat Paya Nahu, di sini.

Manikumar memberitahu, perkara ini amat penting dalam usaha bersama memberikan yang terbaik kepada rakyat.

Selain itu, tambahnya, aktiviti ini juga turut disertai ahli Pusat Sathya Sai Baba Sungai Petani dan penuntut dari Aims Universiti bagi melaksanakan kerja kemasyarakatan serta khidmat komuniti.